Wednesday, August 18, 2010

The 1st time...

"Sid? Kau nampak tak perempuan tu?" Langkah Sid mati. Dia menoleh memandang Izam yang sedang memandang gadis yang menganggu fikirannya semenjak seminggu yang lalu. Gadis itu masih dalam kedudukan yang sama. Aduhai! Tidak lenguh dan bosankah menunggu begitu? Dia tidak menjawab pertanyaan Izam itu. Dia melihat jam di tangan. Masih ada sejam sebelum kelas Prof. William bermula. Tanpa berkata sepatah pun dia membuat keputusan. Kakinya laju melangkah ke arah subjek yang diperkatakan semenjak minggu lalu dan hari ini.



" Wei Sid? Kau gila ke? Nak tegur dia ke?" Sid tetap tidak menjawab. Dia hanya mengangkat tangan melambai Izam supaya pergi dahulu. Mulut Izam melopong sesaat. Biar betul ni Sid.



********************************

Ari terpana sedikit apabila mata tertangkap kelibat seorang lelaki melabuhkan punggung di sisinya. Namun dia tidak berani memandang kerana sesungguhnya dia tidak mahu diganggu. Jangan perasan Ari. Bangku ini bukan engkau yang punya. Dan tak ada siapa pun kata, kalau kau duduk di sini, tiada orang lain yang boleh duduk sama. Ya...dia tahu itu. Cuma sebelum ini, hanya dia seorang yang berada di situ. Tak ada sesiapa pun yang berminat untuk duduk bersamanya di bangku batu itu. Jadi...dia hanya berbuat tidak peduli sahaja walaupun dia tahu insan yang baharu sahaja duduk ini, memerhatikannya.



" Tolonglah! Pergi dari sini. Jangan ganggu aku. Biarkan aku sendiri," gesanya di dalam hati. Mengharapkan agar sesiapa sahaja pun yang berniat mahu menganggu membatalkan hasrat mereka.
" Assalamualaikum!" Mata Ari terpejam sesaat apabila insan itu memberi salam. Dan sesungguhnya apa yang dimahunya tidak menjadi kenyataan. Bolehkah jika dia berpura-pura tidak mendengar salam yang diberikan? Mungkin dia boleh menyamar sebagai seorang yang pekak mungkin. Jadi, tiada lagi alasan untuk insan ini berterusan menganggunya. Ya...itu yang patut dilakukannya. Oleh sebab tidak mahu menanggung dosa, salam itu dijawabnya di dalam hati.



" Saya tahu awak dengar salam saya." Ari berpaling dan pandangan mereka bertemu. Dia berpaling semula. Kembali merenung bangunan di hadapannya. Dalam sekelip mata, dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Insan yang masih menunggu responnya ternyata tidak dipedulikan langsung. Kalau lelaki ini bijak, tentu dia faham dengan tindakannya.



" Ari?" Sid memanggil namanya. Mata Ari terbelalak apabila mendengar lelaki ini memanggil namanya. Bagaimana dia...? Sedangkan dia sendiri seumur hidup ini tidak pernah langsung bertemu dengan lelaki ini. Jadi, bagaimana...?

" Keychain awak," jawab Sid sambil menunjuk kepada keychain yang dilekatkan pada zip beg sandangnya. Air muka Ari berubah. Patutlah. Dan dia sendiri terlupa keychain yang terukir namanya itu mudah sahaja dilihat oleh sesiapa.



" Maaf! Saya tak berniat nak ganggu pun, tapi awak ok ke?" Sid menunggu respon daripada insan yang ditanya tetapi gadis itu hanya berterusan memandangnya. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Hendak kata tidak faham apa yang dikatakan, dia sangat pasti gadis ini berbangsa melayu. Mungkin sememangnya gadis ini tidak mahu diganggu. Namun dia tidak akan mengalah begitu sahaja.



" Dari minggu lepas saya dah nampak awak duduk seorang kat sini. Betulkan kalau saya silap, tapi awak seperti menunggu seseorang. Kalau betul, saya boleh tolong carikan," ringan sahaja mulutnya bercakap. Sedangkan selama ini hendak berbual dengan orang cukup susah dirasakannya. Tetapi dengan gadis bermata sedih ini, dia tiba-tiba seperti juara pemidato terbaik dunia.

" Saya Sid. Ziyad Sidqi." Diam lagi. Dia mengambil peluang merenung gadis di sisinya ini. Matanya memerhatikan segala-galanya. Dia tahu gadis yang mungkin bernama Ari ini tidak senang akan kehadirannya di situ. Dan melalui cara dia menggenggam erat tali beg sandangnya, Sid yakin gadis ini seakan mahu terbang sahaja dari situ jika diberi peluang. Dia memerhati lagi.



" Miss Arisa? Professor Annuar Smith ready to see you now." Sid mendongak apabila tiba-tiba satu suara menganggu mereka. Dia melihat Ari tersentak setika sebelum menutup rasa gemuruhnya. Gadis itu mengangguk sedikit dan bingkas bangun. Sid hanya memerhati. Adakah gadis ini mahu bertemu Prof. Lydia Annuar Smith? Seorang rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan bermaustatin dan mengajar di Universiti ini lebih kurang 20 tahun yang lalu? Adakah mereka bercakap tentang Lydia yang sama? Tetapi siapa lagi yang bergelar Annuar Smith kalau tidak wanita yang seorang itu. Ada apa ya? Tiba-tiba dia diserang dengan rasa penuh ingin tahu.



Ari melangkah perlahan. Perasaan tenang yang dirasakan selama ini berganti rasa. Dia menggenggam erat kedua belah jemarinya. Mahu menyembunyikan segala rasa yang berkecamuk di dalam jiwa. Lelaki yang mengiringinya itu hanya senyum menunggu langkahnya yang tiba-tiba sahaja lembap seperti siput. Tiba-tiba dia teringatkan lelaki bernama Sid itu. Kejamkah dia kerana tidak memberi respon? Kurang sopankah dia kerana berlalu begitu sahaja? Perlahan Ari berpaling. Lelaki itu masih duduk di kerusi itu. Memerhatikannya dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Dia mengangguk sedikit. Terima kasih. Ucapnya tanpa mengeluarkan suara. Lelaki bernama Sid itu mengangguk senang. Entah mengapa jiwa Ari berkocak sedikit melihat cahaya pada wajah itu.

No comments:

OFFER HATI BERGETAR RINDU

OFFER RM20 (sm)/ RM 25(ss)  termasuk pos throwback 🔙  novel ke 5 yang terbit pada Mac 2011. Terbit selepas hanya 7 bula...