Sunday, August 22, 2010

Komen RINDU UNTUK DIA

Rindu Untuk Dia



SUDAH lama sebenarnya saya dapatkan novel Rindu Untuk Dia nukilan Dhiya Zafira dan sudah saya habis membacanya sebaik saja novel itu berada dalam tangan. Tetapi dek kerana tiba-tiba saja masa saya dituntut oleh perkembangan yang tidak dapat dielakkan, saya pun terlupa hendak membuat ulasan mengenai novel tersebut di blog seperti yang saya janjikan kepada Dhiya. Sorry, ya Dhiya. Akak terlupa tau.


Ulasan Ringkas Elee:

Membaca Rindu Untuk Dia membuatkan saya terpaksa memerah otak meneka kaitan setiap watak di dalam novel tersebut. Setiap kali saya meneka, saya pasti akan sakit jiwa kerana tekaan saya yang pada mulanya nampak betul, berakhir dengan jawapan yang tidak terjangkau dek akal. Bijak, Dhiya Zafira. Bijak!!! Dan Dhiya Zafira juga bagi saya telah membuat research yang mendalam tentang orang yang mengalami Retrograde Amnesia dan Post Traumatic Stress Disorder. Simptom yang Dhiya Zafira berikan terutamanya tentang pengidap PTSD sungguh benar kerana suami saya pun mengalami masalah tersebut.


Tabik spring saya berikan kepada Dhiya Zafira kerana mempersembahkan novel yang cukup mantap. Sebagai penulis, jujur saya katakan menulis sebuah naskhah seperti yang disiapkan oleh Dhiya Zafira ini bukanlah mudah. Sungguh payah. Dhiya Zafira, saya yakin, telah melengkapkan kekuatan mental dan fizikalnya sebelum memulakan penulisan novel ini kerana percayalah, tanpa kesabaran dan ketelitian Dhiya Zafira, novel ini tidak akan mampu menggenggam perhatian pembaca sehingga ke noktah terakhir. Syabas, Dhiya. Akak berharap suatu hari nanti akak akan menjadi sehebat Dhiya.


Jalan Cerita Dari Mata Elee:
Rindu Untuk Dia berkisar tentang kisah Amie Najla yang melarikan diri ke Spain seminggu sebelum majlis perkahwinannya dengan Jad Imran berlangsung. Pemergian Amie Najla membuatkan Jad Imran marah, malu, merana dan kecewa kerana Amie pergi tanpa menjelaskan sebabnya. Namun, di awal cerita penulis sudah memberikan gambaran bahawa Amie Najla telah dirogol dan rentetan peristiwa malang itulah, saya teka telah menyebabkan Amie Najla melarikan diri. Amie Najla tidak sanggup menikahi Jad Imran kerana dirinya telah ditebuk tupai.


Penulis juga telah memberikan gambaran yang jelas siapa Zahim sebenarnya. Dialah lelaki yang telah merogol Amie Najla. Tetapi, yessss... ada tetapinya, saya tertanya-tanya mengapa watak Zahim ini dikembangkan oleh penulis. Apa pentingnya perogol seperti Zahim diberikan kepentingan dalam novel ini. Sesungguhnya saya tidak dapat meneka kaitan di antara Zahim dengan Amie Najla, kecuali dalam bab rogol tadi.


Rupa-rupanya Zahim dan Amie Najla pernah bertunang dan Amie Najla yang melihat kecurangan Zahim telah memutuskan pertunangan. Dasar lelaki ego, Zahim berdendam dengan Amie Najla, terutamanya setelah dia mendapat tahu Amie Najla hendak melangsungkan pernikahan dengan Jad Imran, lelaki yang dilihatnya setia menemani Amie Najla semasa gadis itu melawat Spain 7 tahun sebelumnya. Zahim menculik Amie Najla dan merogol Amie Najla. Dan selepas dirogol, orang suruhan bapa Zahim telah mengugut akan mencederakan Amie Najla dan orang-orang yang Amie Najla sayangi jika dia tidak lari dari Malaysia. Niat pengugut adalah supaya Amie Najla tidak membuka mulut.


Ketakutan, Amie Najla lari tetapi lima tahun kemudian dia kembali ke Malaysia. Dia tidak berharap apa-apa daripada Jad, biarpun perasaan itu masih kuat. Sementelah Jad juga sudah beristeri. Kemalangan jalan raya telah menyebabkan Amie Najla hilang ingatan. Perlahan-lahan memorinya kembali dan malangnya, ia turut membangkitkan semula ingatan terhadap insiden semasa dia dirogol dulu sehingga menyebabkan Amie Najla mengalami igauan setiap kali dia tidur. Setiap malam Amie Najla akan menjerit dan menangis. Kemudian, apabila dia terjaga dari tidur, Amie Najla akan mandi untuk membasuh kotoran yang telah Zahim palitkan pada tubuhnya.


Jad dan sahabat baik Amie Najla yang bernama Hani, membantu memulihkan semula Amie Najla. Dan dengan bantuan mereka, Amie Najla memberanikan diri membawa Zahim ke muka pengadilan. Usaha mereka itu diuji apabila Suraya, isteri Jad pula menjadi mangsa culik Zahim. Dan di sini kita dikejutkan lagi dengan satu kaitan di antara watak Suraya dengan Zahim, dan apa role Suraya sehingga membuatkan Amie Najla memutuskan pertunangan dengan Zahim. Isy isy isy... memang tak ku sangka, buah cempedak jadi nangka. Nak tahu apa kaitannya, bacalah sendiri. Ha ha ha... sabor aje aku.


Untuk menyelamatkan Suraya, Amie Najla cuba menarik semula dakwaan yang dibuatnya terhadap Zahim. Amie pergi berjumpa dengan Zahim untuk melepaskan Suraya. Jad muncul dan sejurus selepas terungkai segala rahsia, pihak polis yang telah mengepung bangunan di mana Suraya disembunyikan melancarkan serangan. Of course, Zahim menemui ajal dengan cara yang amat mengerikan. Padan muka kau! Malangnya, Suraya juga turut terkorban. Dan kini, Amie dan Jad bebas untuk menyambung semula cinta mereka.

Terima kasih buat Kak ELEE MARDIANA aka OPAH DE, kerana sudi mengulas buku ketiga saya, RUD. hehehhe..walaupun RUD sudah lebih setahun dipasaran, namun saya tetap rasa terharu kerana kak Elee masih sudi membaca dan mengulasnya...TQ KAK...kepada pembaca yang masih belum berpeluang mendapatkan RUD ini, mungkin ulasan ini boleh membantu anda...

No comments:

OFFER HATI BERGETAR RINDU

OFFER RM20 (sm)/ RM 25(ss)  termasuk pos throwback 🔙  novel ke 5 yang terbit pada Mac 2011. Terbit selepas hanya 7 bula...