Wednesday, May 26, 2010

Sneak peek JKP

Salam - Sila rajinkan diri anda untuk membaca dan komen ya.....


Masjid Sungai Udang, Melaka

 

“ Afi!” Rif cuba mengejutkannya dari tidur. Dia memanggil sekali lagi namun Afi tetap tidak bergerak.
“ Dia letih agaknya,” balas Eddie sambil menoleh menandang insan yang menjadi topik perbualan. Afi lena berbaring di kerusi belakang. Begitu nyenyak sekali tidurnya sehingga tidak sekali pun terjaga sepanjang perjalanan mereka dari Pulau Pinang hingga ke Melaka ini. Rif membetulkan tubuhnya. Rasa lenguh memandu kian terasa. Dia bertukar ke bahagian memandu ketika berhenti minum di R&R Semanggol. Mereka langsung tidak mengejutkan Afi, cuma memastikan mereka tidak pergi jauh dari kereta.


Apabila kembali semula ke kereta, dia meminta untuk memandu. Dia perlu melakukan sesuatu bagi menghilangkan perasaan yang bercampur aduk dalam hatinya. Kata-kata Afi berterusan menghantui fikirannya. Dia tidak tahu mengapa dia begitu terasa dengan kata-kata itu. Adakah kerana luahan Afi itu benar belaka? Ya...semenjak Najmi tiada. Semenjak kemunculan mereka, semuanya serba tidak kena. Azan subuh mula kedengaran. Rif membuka pintu.


“ Kau kejutlah dia. Aku nak sembahyang dulu,” balasnya mudah.


“ Rif!” Eddie menahan. Langkah Rif terhenti namun dia tidak berpaling. Hanya menunggu Eddie meluahkan apa yang ingin dikatakan.


“ Jangan marahkan Afi. Dia tak berniat nak cakap macam tu. Dia takut sebenarnya. Memang betul cakap dia. Kita ni memang macam chips more. Kau tak rasa, dia takut kalau nanti kita tinggalkan dia macam Jimmy tinggalkan dia?” Rif masih mendiamkan diri namun otaknya laju mencerna segala kata-kata Eddie itu.


“ Aku tahu Ed...aku tahu. Kau ingat aku tak rasa bersalah dengan apa yang berlaku? Kau ingat aku suka-suka lukakan hati dia? Kalau diberi pilihan, aku tak sanggup buat begini pada Afi, Ed. Cukup-cukuplah aku terbeban dengan rasa bersalah yang ada sekarang ni. Aku tak sanggup Ed. Aku tak sampai hati,” luahnya penuh perasaan.


“ Rif...kita kena beritahu Afi perkara yang sebenarnya,” bisik Eddie perlahan. Rif pula bertambah tergamam. Dengan langkah longlai, dia menuju Masjid Sungai Udang, menyerah diri kepada PENCIPTA YANG MAHA ESA.


Afi tersentak apabila terdengar laungan azan begitu kuat di corong telinganya. Dia bingkas bangun dan mengaduh kesakitan apabila kepalanya berlaga dengan kepala Eddie. Eddie turut mengosok kepalanya yang hampir-hampir tidak berambut itu. Bergegar jugalah dirasakan kepalanya saat itu. Entah apa malangnya mahu mengejutkan Afi sembahyang subuh tidak berjaya langsung. Oleh sebab tidak mempunyai pilihan lain, dia mencapai handsetnya dan memutarkan kembali azan yang memang sengaja disimpan dalam memori telefonnya. Ternyata cara itu berkesan namun siapa sangka dia pula yang terkena.


Afi masih lagi mamai, hilang rasa kantuknya mendengar Eddie mengaduh kuat. Barang sesaat jua, dia turut berasa berpinar-pinar.


“ Ish...kau ni tidur macam mana ni Afi? Bom meletup sebelah pun kau tak dengar?” Bangunlah. Subuh nak habis dah ni. Aku nak tinggal karang, kau terkejut pulak. Yang Rif ni pun satu. Buat apa lama sangat ntah?...buat sunat tasbih ke apa?” leter Eddie sambil bercekak pinggang. Sudah hampir sejam dia menunggu Rif selesai menunaikan solat namun sehingga kini kelibat Rif langsung tiada. Dia risau mahu meninggal Afi yang masih lagi tidak sedarkan diri walaupun entah berapa kali sudah dikejut.


“ Aku nak pergi solat jap Afi. Kau nak ikut tak?” soalnya lagi sudah mengangkat seluar sehingga paras betis. Afi hanya menggeleng. Dia cuti sejak 3 hari yang lalu tetapi tidak perlulah dia mengumumkan itu kepada Eddie. Pandai-pandailah dia faham sendiri. Afi tunduk melihat pakaiannya. Windbreaker itu masih tersarung kemas di badan. Dia sudah mula berpeluh. Kalau tidak memikirkan rambut yang terdedah, memang sudah lama dia mencampakkan baju itu.


“ Kau period ke atau kau malu nak turun macam tu?” Afi bungkam. Takjub sekejap dengan keselambaan lelaki bernama Eddie Sufian itu. Kalau yang bertanya itu arwah ayah atau abangnya, tidak mengapalah juga. Ini lelaki yang bukan muhrimnya. Lelaki yang ketika zaman sekolah itu begitu perasan mahu menjadi abang kepadanya walaupun mereka sebaya. Malah...keempat-empat mereka sememangnya suka berkongsi tanggungjawab yang disandang Najmi seorang. Masing-masing mahu menjaga dan melindunginya. Afi sudah berasakan mahu berlari sampai tidak jejak ke tanah. Malunya usah dikata lagi. Dia menjeling Eddie seketika. Muka itu masih kekal selamba. Masih menunggu di tepi tingkapnya. Mungkin menanti jawapan kepada persoalannya tadi. Afi terasa mahu menghantukkan kepalanya. Apalah habuannya mendapat teman-teman yang sebegini perangainya?


“ Aku cutilah,” balasnya begitu perlahan sekali. Tidak tergamak mahu menyebut ayat period itu di depan Eddie. Lelaki itu hanya ketawa. Mungkin pelik kerana melihat Afi seperti malu-malu dengannya. Lupakah Afi, dulu semasa sekolah, kadang-kadang dialah yang membekalkan pil menstrual pain itu untuknya? Emaknya yang bertugas sebagai jururawat itu memang sentiasa lengkap dengan ubat-ubatan di rumah. Dan setiap bulan, bila Afi mengadu sakit, kepada dialah kesemua mereka mendapatkan bantuan. Malah dia sampai hafal jadual bulanan Afi supaya senang dia bersedia lebih awal.


Sebaik sahaja Eddie berlalu, Afi membuka pintu. Angin pagi menderu masuk. Lega sedikit kepanasan yang dirasanya. Namun rasa itu hanya sementara apabila dia melihat Rif menghampirinya. Dia segera mengalihkan pandangan. Berpura-pura tidak melihat kehadiran lelaki itu. Rif tidak segera masuk, sebaliknya dia melabuhkan punggung di atas sebiji batu. Afi mencebik bibir. Dia tahu Rif sengaja buat begitu untuk menambahkan lagi rasa bersalahnya di atas keterlanjuran mulutnya malam semalam. Dia tahu selagi dia tidak menyelesaikan perkara itu, selagi itulah Rif akan mendiamkan diri. Kuat merajuk juga si Rif ni, fikirnya dalam hati.


Dia memerhatikan jam. Sudah lima belas minit berlalu semenjak Eddie meninggalkannya. Seperti Rif, Eddie juga menunaikan solat sunat tasbih, agaknya. Afi menekup mulut apabila terasa mahu ketawa. Namun dia tersilap apabila sedang dia ketawa itu, matanya terarah kepada Rif. Lelaki itu sedang merenungnya. Jantungnya tergelincir beberapa saat. Dia rasa begitu berdebar-debar. Segera dia menunduk. Tiba-tiba dia berasa kuku jarinya begitu indah untuk diteliti. Kenapa dia selalu melihat Rif merenungnya begitu? Renungan yang kadangkala langsung tidak difahami.


Adakah itu renungan yang mempamerkan rasa cinta? Tidak! Dia tidak tahu bagaimana pandangan seorang lelaki terhadap wanita yang dikasihinya? Kalau hendak dibandingkan cara abang atau ayahnya memandang, memang ternyata berbeza sekali. Pandangan mereka terpancar segala-galanya. Dia boleh membaca emosi yang dilontar bersama pandangan tersebut namun dengan Rif...dia jadi keliru. Dia buntu.


Ada masanya, pandangan Rif membuatkan dia berasa seperti melakukan dosa yang sungguh besar. Ada masanya pula, Rif memandangnya seperti seorang abang, teman, sahabat yang begitu mengambil berat. Ada pula masanya...seperti ketika ini, dia seperti wanita yang paling penting dalam hidup lelaki itu. Seperti dia wanita yang paling cantik sekali di matanya. Entah mengapa dibalik pakaiannya yang kurang senonoh itu, dia tetap kelihatan istimewa. Begitukah Rif melihatnya? Atau... dia sahaja yang perasan? Adakah semenjak Rif kembali, dia saja yang angau tidak ketahuan punca? Afi semakin buntu. Sejak bila dia menyukai Rif lebih dari yang sepatutnya?


Memikirkan Eddie yang seperti menghilangkan diri, dia turun. Lebih mudah menyelesaikan segala pertelingkahan tanpa ada mata yang melihat. Lebih mudah begini kerana dia bebas menyuarakan apa yang dirasa dengan lelaki ini. Semasa kakinya memijak permukaan yang berbatu-batu itu, kakinya terasa sakit. Afi tunduk melihat. Patutlah kakinya sakit. Sememangnya selain tidak bertudung, dia juga berkaki ayam. Huh! Darahnya terasa mahu menyirap semula namun memikirkan dia dalam usaha mahu meminta maaf, lalu rasa marah itu dicampak ke tepi.


Dengan berbaju gedoboh dan berkaki ayam itu, dia menghampiri Rif. Dia melihat Rif memandangnya dari atas hingga ke bawah dan ke atas semula. Selepas itu dia melihat Rif cepat-cepat membuang pandang. Dia tahu, bagaimana rupanya ketika itu. Tidak perlulah Rif cuba menyimpan rasa mahu ketawa itu. Dia tahu. Dalam keadaan itu akhirnya dia tersenyum juga. Dia tahu sebaik sahaja dia berani turun dalam keadaan begitu, dengan seluar tidur panjang bercorak kartun popeye, marah Rif terhadap kata-katanya turut lenyap.


“ Aku minta maaf. Apa yang dah aku cakapkan malam tadi, aku tak berniat langsung nak cakap!” Dia memulakan bicara.


“ Tak apa Afi. Aku faham. Eddie pun faham,” balas Rif pendek, tidak mahu memanjangkan cerita. Dia akui sepanjang malam dia diamuk dengan rasa marah dan kecewa. Namun sebaik sahaja sujud kepada ALLAH Yang Maha ESA, segala rasa yang menjeruk hati seakan-akan lenyap. ALLAH itu MAHA PENGAMPUN sebesar-besar dosa hamba-hamba-NYA, sekiranya mereka bertaubat. Kata Rasullullah SAW pula, orang yang paling gagah perkasa antara kita semua adalah orang yang dapat mengalahkan nafsunya ketika sedang marah. Masakan dia terus juga mahu berlagak sombong? Dia cuba meletakkan diri di tempat Afi dan dia yakin, dia akan melakukan tindakan yang serupa.

 
“ Macam mana kau boleh faham? Aku sendiri tak sanggup nak ulang apa yang aku dah cakap. Macam mana kau boleh berlagak biasa Rif? Kalau kau nak, kau boleh marah aku. Aku terima sebab apa yang aku buat memang tak patut langsung,” pintanya berterusan mahu menerima kesalahan itu. Apa kena engkau ni Afi? Kalau Rif tidak mengamuk itu seharusnya kau patut bersyukur. Ini tidak, kenapa engkau beria-ia benar menyuruh Rif marah pada kau?


“ Ya...memang tak patut kau cakap macam tu tapi aku faham. Let it go Afi. Aku dah lama lupakannya.”


“ Apa sebenarnya terjadi Rif? Kenapa tiba-tiba saja kau datang ke sana? Kalau kau duduk di tempat aku, kau tahulah macam mana takutnya aku semalam. Selama ni, tak pernah ada yang tahu aku ke sana. Tak ada siapa yang pernah datang. Aku bertindak mengikut apa yang aku rasa. Aku takut. Aku terkejut. Bila tiba-tiba kau muncul dengan uniform kau tu, siap dengan senjata lagi. Tanpa terangkan apa-apa, kau suruh aku jadi spiderwoman pulak....” Dia berhenti menarik nafas. Rif spontan tersenyum mendengar ayat spiderwoman dari mulutnya.


“ Jangan cuba-cuba nak ketawa!” ugutnya dengan nada bergurau.


“ Aku bukan tentera Rif. Apatahlagi komando macam kau dan yang lain-lain. Jangan sangka aku boleh hadapi semua ni dengan mudah. Jangan sangka aku juga terima latihan seperti korang semua. Mungkin kau lupa yang aku ni perempuan agaknya Rif. Walaupun, aku ni biasa-biasa saja, tapi aku perempuan Rif. Kau jangan lupa tu,” Afi mengingatkan. Separuh merajuk. Mungkin itulah agaknya tanggapan mereka semua. Selama ini dia berada di dalam kelompok mereka sehingga mereka sendiri jadi lupa siapa dia sebenarnya? Tetapi...mana mungkin! Kalaulah benar kesemua mereka ini menganggap dia seperti mereka, memanglah mereka buta, kalau tidak pastinya gila.


“ Afi!” panggil Rif menyedarkan dia dari lamunan.


“ Kau bukan perempuan biasa,” ujarnya membantah persepsi Afi tentang diri sendiri. Dia cuba mencari kata-kata yang lebih bermakna namun yang keluar hanya itu sahaja. Dia sebenarnya keliru apa yang ingin diperkatakan.

“ Kau bukan perempuan biasa...,” tekannya lagi. Afi tersengih. Kelakar melihat wajah Rif yang berkerut-kerut memikirkan kata-katanya. Apa yang susah sangat hendak diluahkan itu?


“ Kalau aku bukan perempuan biasa, maknanya aku ni luar biasalah ya?” dia ketawa.

“ Haha...mengarut kau ni Rif. Macam mana kau nak mengayat awek macam ni? Menuntut tak habis kau ni,” tambahnya lagi yang seronok melihat wajah Rif masam-masam kelat dengan kutukannya.


“ Tak dapat ayat perempuan lain tak apa. Kau kan ada Afi. Aku susah apa. Aku pinang kau eh? Nanti aku pakai seluar panjang Olive. Boleh matching dengan seluar popeye kau tu,” sindir Rif mengenakan Afi kembali. Senyumannya semakin lebar apabila melihat Afi seperti terpegun mendengar kata-katanya. Baru Afi tahu. Ingat dia seorang ada bakat hendak kenakan orang?


“ Okayyyyyyy....berbalik pada topik kita...” Afi pantas menukar tajuk. Balik-balik dia sahaja yang terkena. Dia tahu walau macam mana sekalipun, dia tidak akan menang kalau berlawan cakap dengan lelaki ini. Mana-mana pun Rif pasti menemui cara untuk mengenakannya semula. Pada asalnya dia hanya ingin mengetahui kejadian malam semalam, namun bagaimana tiba-tiba boleh berubah kepada seluar panjang popeyenya pula?

“ Berbalik pada topik, kita akan bincangkan bila semuanya sudah berkumpul. Sebelum tu Afi....tolonglah...azab aku tengok kau ni. Lepas ni aku bawa kau ke kedai.” Afi hanya menjuih bibir. Azab konon. Salah siapa yang buat dia jadi begini?

2 comments:

Dessert Queen said...

I miss those days bila aku punya masa untuk golek-golek & membaca..sekarang komitmen bisnes/keluarga memang ambik masa aku betul..

Sebab tu aku suka travel..sebab itu satu2 nya masa,bila aku menunggu/dalam flight aku boleh membaca dengan tenang...

harap novel yang ke 4 kau ni sukses ok..boleh beli coklat aku selalu!;p

dhiya zafira said...

Nora...
samalah..macam aku...bila dah menulis ni..pembacaan aku pun terhad...dulu buku mmg tak lekang dari tangan..la ni...kepala dok weng fikir manuskrip..manuskrip..hhehhehe....

Tq..aku pun harap2 novel aku ni sukses...susah payah dan jerih perih terasa berbaloi bila ada pembaca yang suka...mcm ko jugak...susah payah buat chocolate n pop cake tu..bila ada good review..rasa hilang suma penatkan....

OFFER HATI BERGETAR RINDU

OFFER RM20 (sm)/ RM 25(ss)  termasuk pos throwback 🔙  novel ke 5 yang terbit pada Mac 2011. Terbit selepas hanya 7 bula...