Salam...
Hari ini 14 Februari 2009. Hari Kekasih pada sesetengah orang. Walaupun menyambut Hari kekasih ini diharamkan dalam Islam, tetapi ada yang sengaja tidak mendengar atau mengambil peduli mengenai perkara ini. Sudahlah aku tidak mahu bercakap mengenai perkara ini. Masing-masing ada akal. Masing-masing boleh berfikir. Tepuk dada tanya Iman. Aku tidak pernah menyambut Hari Valentine ini. Tetapi sungguhpun begitu Hari ini tetap hari yang amat bermakna dalam hidup aku. Hari yang amat istimewa. Tanggal 14 Februari 1951, hari arwah ayah menjengah dunia.
Kalau dulu aku dan adik beradik yang lain pasti merancang sesama sendiri memikirkan hadiah apa untuk ayah tahun ini. Nak belanja ayah makan apa malam ni. Dari baju, jam, wallet, kasut, seluar, rak fail untuk ayah menyusun kerjanya, bermacam lagi yang pernah kami hadiahkan. sampai kadang2 tak tahu nak beli apa, kami akan tanya ' ayah nak apa, cakap je'. selalunya ayah akan cakap tak payah bazir duit untuk ayah. nak beli barang, beli kat hangpa. itulah ayah...tak pernah meminta kami membelikan apa-apa untuknya. Tapi wajah ayah yang bercahaya dan tersenyum setiap kali kami menghadiahkan sesuatu untuknya tetap aku tak akan lupa sampai bila-bila.
Untuk tahun ini...untuk tahun yang kedua aku dan adik beradik tidak berpeluang untuk memberikan hadiah pada ayah lagi. Seperti tahun lepas hanya doa dan kerinduan sahaja yang dapat kami sampaikan. Yang kami mampu hanya mengadakan tahlil untuk ayah. setelah dua tahun kerinduaan ini tidak pernah akan susut.
Aku ingat lagi bulan lepas...kami sekeluarga menghadiri kenduri sepupu di Bukit Mertajam. Seperti biasa sanak saudara dan kaum kerabat seluruh semenanjung ini ada bersama. Arwah ayah ada seorang adik lelaki yang kami panggil pak lang. semenjak ayah meninggal kami memang tidak pernah berjumpa dengan pak lang walaupun dia tinggal hanya di Bayan Baru. bukanlah jauh benar jaraknya dari Taiping ini. Tapi entah mengapa hubungan kami seolah-olah terpisah dengan pak lang sekeluarga.
Kami sekeluarga akhirnya bertemu pak lang di majlis perkahwinan sepupu aku. Tiba-tiba adik bongsu aku berbisik menyuruh aku melihat wajah pak lang. katanya muka pak lang macam muka ayah. Aku pandang dan tersentap hati. Memang mirip wajah ayah. Dengan tubuh kurusnya. dengan kopiah putihnya. pendek kata seolah-olah ayah berada di depan kami. Mak awal-awal lagi dah lari masuk ke rumah. Kata mak sebelum mak menangis, baik mak beredar. Aku dan adik beradik hanya menunggu dan berusaha keras menahan air mata dari menitis. Bayangkan...setelah hampir 2 tahun kehilangan dan kerinduan. setelah redha bahawa ayah pergi tanpa kembali...setelah kami belajar untuk senyum semula tiba-tiba....
Adik yang bongsu dah mula menangis. Satu tabiat keluarga kami, tak boleh seorang menangis sebab yang lain akan menurut. Aku pula menitis air mata dan aku melihat mata kakak dan adik aku yang lain sudah merah. Majlis perkahwinan yang sepatutnya disambut dengan perasaan gembira bertukar hiba. jenuh kaum keluarga berkerumun kami yang sedang menangis. Orang yang melihat memandang hairan. apa yang pasti kami sahaja yang tahu apa yang terjadi. Tidak dapat melihat ayah, aku mengambil peluang yang ada memadang pak lang sepuas-puasnya. cuba merakam detik dan menyimpan kemas dalam memori.
" Depa teriak tengok muka aku macam pak depa" terang pak lang kepada sesiapa sahaja yang bertanya. Aku rasa bukan kami sahaja yang akan berperasaan begini. Siapa sahaja yang berada di tempat aku dan keluarga pasti berasa sedih dan hiba.
" Mak Hari ni hari jadi ayah." adik bongsu aku mengingatkan tadi. Mak hanya mengangguk dan aku menyahut...tak akan siapa yang pernah lupa. Malam ini kami akan mengadakan tahlil untuk ayah. Hari ini genap usia ayah 58 tahun, cuma ayah tidak bepeluang mengecapi hari ini.
AL-FATIHAH.