“ Kalau betul-betul minat, teruskan. Jangan buat sekerat jalan.” Atas dorongan dan kata-kata ayah itu saya menyambung semula minat yang tinggi membara untuk menjadi seorang penulis. Tapi iyalah...sekejap semangat saya tinggi menjulang. Sekejap jatuh merudum. Sebagai penulis yang baru berkecimpung dalam bidang ini, saya sememangnya tidak mempunyai pengalaman bagaimana hendak mengikut rentak sebagaimana penulis-penulis yang lebih pengalaman. Namun, kata perangsang ayah dan tekanan bertubi-tubi dari adik, menyebabkan saya meneruskan projek yang seringkali terbengkalai ini. Syukur Alhamdulilah manuskrip pertama saya siap pada bulan Jun 2004. Dengan tajuk asalnya Sehingga Terukir Senyuman, saya benar-benar akrab dengan Adnan Taufik dan Alia. Tiga tahun saya menunggu untuk berkongsi dua insan yang amat bermakna dalam hidup saya dengan anda semua. Dan kini, impian saya menjadi kenyataan. Ya...hidup saya terlalu kaya dengan mimpi dan angan-angan. Terlalu asyik dengan pengharapan tetapi kini semua itu bukan mimpi dan angan-angan semata-mata. Pengharapan itu telah menjadi kenyataan.
Dalam kegembiraan, saya tetap terkilan. Insan yang beria-ia memberi dorongan telah pergi buat selama-lamanya. Insan yang tidak sabar menatap naskah pertama tidak mampu berbuat demikian lagi. Hati saya meruntun pilu kerana hadirnya perkhabaran gembira ini setelah pemergian insan yang paling saya sayangi. Sayang sekali hajat ayah tidak sampai namun saya yakin, ayah tetap gembira untuk saya. Untuk itu, saya sama sekali tidak akan berputus asa.
Bacalah...sebagai tanda sokongan anda semua buat saya. Saya tidak boleh menjamin samada naskah saya ini mampu memberi kepuasan kepada anda. Saya tahu selera manusia semuanya berbeza-beza. Minat anda terhadap sesuatu bukanlah jaminan bahawa insan lain juga berkongsi minat yang sama dengan anda. Itu adalah lumrah hidup. Sama ada suka ataupun tidak, kita terpaksa menerimanya. Apa yang pasti, naskah ini adalah sesuatu yang terlalu istimewa dan berharga bagi diri saya. Bertahun-tahun saya menyemai, membaja, menjaga dan menyiramnya dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Dan kini, saya mampu merasai hasilnya. Semoga anda terhibur dan Kudamba Bahagia bisa mengukirkan senyuman anda semua.
Selamat membaca!
No comments:
Post a Comment