Wednesday, April 16, 2014

SDN - DELETED SCENE ( SPOILER ALERT)

Salam

Inilah adalah deleted scene dalam SDN. Jujurnya saya rasa menyesal juga membuang scene yang saya khaskan pada bahagian epilog..Tapi...Water under the bridge now..move on ajelah ya.. :)


Epilog I

"Hisham... ada orang nak jumpa."
"Mak Jah... saya tak nak jumpa sesiapa pun sekarang ni. Saya hanya nak sendirian sahaja."
"Mak Jah dah cakap nak, tapi dia nak minta jumpa juga. Hisham, Dzar Thalha datang dengan keluarganya. Mendengar nama Dzar, Hisham lantas bangun dari pembaringan. Mata yang seakan sudah mati, kembali bercahaya semula. Dia bangun mengemaskan keadaan diri yang terabai semenjak kematian Ayah dan anaknya. Izhar. Munirah pula terlalu sedih, membawa diri entah ke mana. Dia sendiri gagal mencari di mana jejak isterinya itu.
"Mak Jah... suruh dia masuk. Jemput mereka masuk nanti saya turun," balasnya teruja.
"Baik Hisham." Mak Jah berlalu sambil mengesat air mata. Sebak dia melihat keadaan Hisham seperti itu. Ibarat orang yang sudah jatuh lalu ditimpa tangga. Dia tidak tahu mengapa malang benar nasih Hisham ini. Atau mungkinkah ini balasan atas segala dosa yang telah dilakukan. Mungkinkah ini kifarah yang terpaksa dihadapinya. 
Kesemua mereka yang berada di situ menunggu tenang. Minuman dan makanan ringan yang terhidang masih belum dijamah. Masing-masing tidak mampu berbuat apa-apa memikirkan apa yang akan berlaku sebentar nanti.
"Assalamualaikum!" Mereka pantas berdiri apabila Hisham menegur tiba-tiba.
"Maaf... kalau abang buat Idah dan anak-anak menunggu lama." Dia menumpukan perhatian kepada Faridah sementelah hanya wanita itu sahaja yang mampu memaafkan dia ketika ini. Sedangkan Dzar dan Diana masih belum terbuka hati mereka. Tidak mengapa. Dia faham dan tidak mengapa. Dia tidak akan putus asa dalam menuntuk kemaafan terhadap kedua insan ini.
"Tak apa abang." Belas dia melihat keadaan Hisham yang seakan tidak terurus.
"Masih tak ada berita tentang Munirah?" Hisham menggeleng. Dia sudah kehabisan daya mahu mencari di mana Munirah menghilangkan diri. Sama ada Munirah sengaja pergi ataupun tidak, dia mengharapkan yang baik-baik sahaja untuk isterinya itu.
"Abang... Idah datang dengan anak-anak membawa hajat." Faridah memulakan bicara apabila melihat Dzar mengangguk ke arahnya.
"Hajat apa, Idah?"
"Idah nak abang lepaskan Idah. Dah terlalu lama, nasih Idah tergantung macam ini saja. Jadi... Idah rasa, sudah sampai masanya keputusan harus diambil. Hubungan kita sudah berakhir lama dulu. Sekarang, biarlah ia diputuskan secara rasmi."
Hampir hendak pitam Hisham mendengar permintaan itu. Adakah ini sebenarnya tujuan kedatangan mereka? Ya ALLAH...ujian apakah yang kau berikan buat aku yang hina ini?
"Idah dah fikir masak-masak? Idah tak nak beri abang peluang lagi?"
"Percayalah... dah bertahun-tahun Idah memohon petunjuk Allah, bang. Bukan Idah tak mahu beri abang peluang, tapi Idah rasa perpisahan kita akan lebih mendatangkan manfaat daripada kita terus bersama."
"Ya abang faham. Abang tak boleh terus memaksa Idah bersama abang. Abang menolak hak Idah sebagai isteri, jadi abang tidak berhak meminta peluang daripada Idah lagi. Abang faham. Tapi sebelum kita berpisah, izinkan abang meminta maaf Idah."
Faridah mengangguk. Air mata jujur bagaikan hujan. Dia menunggu Hisham merapatinya. Hisham menghulurkan tangan dan dia menyambutnya.
“Abang minta ampun Idah. Abang minta ampun atas segala dosa abang pada Idah.” Hisham menangis teresak-esak.
“Idah ampunkan abang. Idah reda dengan apa yang berlaku. Maafkan Idah juga selama Idah bergelar isteri abang.”
Diana yang memerhati, menangis sambil memeluk abangnya erat. Tidak sampai hati pula melihat ayah mereka dalam keadaan itu. Dzar mengusap belakang tubuh untuk menenangkannya. Tapi dia melihat juga Dzar sedaya upaya menahan tangis.
            Hisham mengesat air mata. Kabur pandangan sewaktu menjamah tiga wajah insan yang paling dikecewakannya selama ini. Dia menghela nafas panjang.
            “Dengan lafaz Bismillahirahmannirrahim... Aku Mohammad Hisham bin Hassan, dengan bersaksikan anak-anakku, Dzar Thalha dan Diana .... dengan ini menceraikan isteri aku, Faridah binti Sulaiman dengan talak satu.”
Sebaik sahaja talak dijatuhkan, Hisham mengongoi seperti anak kecil. Faridah turut sama mengalirkan air mata. Dia memandang wajah Hisham dengan hati yang cukup lapang. Buat pertama kali, bebannya terasa begitu ringan.
“Terima kasih abang. Terima kasih kerana tunaikan permintaan Idah,” bisiknya dengan penuh keharuan. Hisham memejam mata. Tidak sanggup lagi dia melihat wajah mereka. Dia bangun untuk beredar namun suara Dzar mematikan langkahnya.
“Abah!” Ya ALLAH... silap dengarkah dia? Adakah Dzar memanggilnya abah? Dia mahu percaya namun dia tidak berani berpaling. Takut-takut jika semua ini hanya mimpi sahaja.
“Abah!” Itu... suara itu kedengaran lagi. Dia tidak salah dengar. Memang benar Dzar memanggilnya begitu. Setelah sekian lama, akhirnya dia mendengar juga panggilan itu daripada mulut Dzar. Perlahan dia berpaling semula. Dzar dilihat sudah menghampirinya. Hatinya sebak melihat wajah itu juga dipenuhi air mata. Adakah Dzar berasa sedih? Bukankah ini yang dimahukan semenjak sekian lama?
“Abah... hubungan mak dengan abah, mungkin sudah berakhir. Tapi hubungan antara kita, sampai kiamat pun tak akan terputus, abah. Abah mungkin hilang mak sebagai isteri, tapi abah masih ada abang. Abah masih ada Dian. Walau apa pun yang berlaku, kami tetap anak-anak abah.”
“Dzar...? Abang... Dian..betulkah apa yang abang dengar ni?” soalnya dengan nada tidak percaya. Ya ALLAH... Tolong jangan biarkan mereka ini berbohong. Aku sudah tidak sanggup menghadapinya lagi. Dzar mengangguk. Dia mengesat air mata yang mula mengaburi pandangan.
“Abang minta maaf sebab layan abah dengan buruk. Abang tak patut terus menyalahkan abah atas kesilapan masa lalu. Abang bersyukur sangat bila lihat abah benar-benar berubah. Maafkan abang, abah. Maafkan abang,” ucapnya bertalu-talu. Hisham hanya menggeleng. Dia terus menarik Dzar ke dalam pelukan. Dia memegang wajah Dzar dengan kedua belah tangannya. Kedua mereka hanya mengangguk dalam bicara tanpa kata. Hisham memandang ke arah Diana yang sedang menangis dalam pelukan Faridah. Dia mendepangkan kedua belah tangan dan dalam sesaat, Dian melayang ke dalam pelukannya.

“Dian... anak abah,” Hisham sebak. Dia sudah tidak mampu bersuara lagi. Hari ini dalam sejarah. Dia kehilangan isteri, namun dia mendapat kasih sayang dua orang anaknya semula. Syukur Alhamdulillah. 

1 comment:

Mohamadjahn said...

And the end. Class dismiss... :)

OFFER HATI BERGETAR RINDU

OFFER RM20 (sm)/ RM 25(ss)  termasuk pos throwback 🔙  novel ke 5 yang terbit pada Mac 2011. Terbit selepas hanya 7 bula...