Dzar' s Story


 Bella Rossa II, Pulau Perhentian
                 
              Dia berdiri tegak dan tergamam. Nama resort itu dibaca berkali-kali seakan tidak mahu percaya. Tetapi walaupun hati cuba menidakkan kenyataan namun dia tahu nama itu tetap tidak berubah. Dan matanya ini masih belum buta lagi sehingga tidak kenal huruf apa yang sedang dibaca ketika ini. Ya! Kenyataan masih tetap sama. Dia berada di Bella Rosa ketika ini. Adakah ini bermakna...! Dzar menggeleng perlahan. Wajah yang cukup jarang tersenyum itu tewas juga dengan rasa gembira yang tidak semena-mena hadir dalam jiwa. Beg sandang lusuh berwarna hijau lumut itu kembali disangkutkan ke bahu. Dan dengan kekuatan yang tiba-tiba menghembus diri, dia kembali melangkah. Langit yang dirasakan kelam kembali memuntahkan cahaya.
              Nun seratus meter di hadapan, dia dapat melihat figura seseorang. Dia kenal wajah itu. tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun dalam keadaan terpejam mata sekalipun, dia pasti mengecam insan yang masih tidak menyedari kehadirannya ini. Sekali lagi langkahnya terhenti dan Dzar sedikit teragak-agak. Bagaimana jika kehadirannya tidak diterima? Bagaimana jika insan itu tidak mahu berjumpa dengannya lagi? Dia teringatkan apa yang berlaku beberapa bulan yang lalu dan dengan penuh kekesalan Dzar menggeleng perlahan. Cukuplah! Dia tidak mahu menempuh perkara yang sama. Dia sudah bertekad tidak akan membiarkan dirinya terjerumus dalam penghinaan itu lagi. Cukuplah! Dia tidak perlu mengharapkan sesiapa lagi. Cukuplah hanya ada ALLAH sahaja yang mendengar rintihannya. Dzar membuat keputusan dan kakinya kembali mengundur ke belakang. Sesungguhnya ini lebih baik buat mereka semua.



              “ Siapa tu kak?” Shera bertanya sambil menunjuk ke arah lelaki yang sedang membelakangi mereka. Yang dipanggil kakak itu mengangkat muka dan melihat arah yang ditunjukkan.
              “ Siapa?” soalnya kepada Shera yang masih ralit memerhati subjek yang sedang diperkatakan. Shera menjungkit bahu. “ Entahlah. Tadi rasanya macam nak ke sini tapi tiba-tiba dia patah balik,” terangnya sambil kembali menumpukan perhatian kepada resit-resit di hadapannya. Wajah yang sedang dilawan bercakap itu berkerut dan merenung jauh ke hadapan. Shera yang tidak memikirkan apa-apa terus sahaja membuat tugasnya. Dan dia terus begitu sehinggalah dirasakan dia ditinggalkan sendirian di situ. Shera memangku wajah dan sedikit terpinga-pinga. Bila masa pula Kak Adni tiba-tiba menghilangkan diri?




              “ Dzar?” Jantungnya berdegup kencang apabila mendengar namanya disebut seseorang namun itu masih tidak menghentikan langkahnya. Dzar terus melangkah dan berpura-pura tidak mendengar suara itu. Namun suara itu kedengaran sekali lagi dan dia tidak boleh terus berpura-pura tidak mengendahkannya. Langkahnya mati dan dengan perlahan dia berpaling. Wajah Adni Zuhayra yang lebih dikenali dengan nama Dinie itu dipandang tanpa riak. Dia melihat Adni menekup mulutnya. Mungkin terkejut melihatnya di sini. Atau mungkin juga terperanjat melihat wajahnya yang sedemikian rupa. Dzar langsung tidak menyalahkan Adni. Jika dia melihat wajahnya ketika ini, pasti dia juga menjerit ketakutan. Tidak perlu cermin, dia tahu bagaimana rupanya yang sudah berapa lama tidak bercukur itu.
              “ Ya ALLAH! Dzar. Macam mana boleh ada kat sini?” Adni seakan mahu melonjak kegembiraan apabila telahannya benar belaka. Dan kalaulah Dzar ini muhrimnya, mahu sahaja dia memeluk erat lelaki ini. “ Ya ALLAH...tak percayanya Dzar ada depan mata akak sekarang ni. Actually akak dengan Izz baru sebut-sebut aje fasal Dzar. Tup tup dah ada depan mata. Ya ALLAH..akak rasa macam tengah mimpi je sekarang ni. Izz dah tahu tak ni? Kalau dia tahu mesti dia happy...” Adni terus meluahkan keterujaannya tanpa menyedari perubahan pada wajah di hadapannya.
              “ Izz ada?” soalnya perlahan. Adni mengangguk. Dan seketika kemudian dia menggeleng. “ Dia ada tapi buat masa ni dia tak ada. Keluar ada urusan. Malam ni dia baliklah,” terang Adni sambil menepuk dahinya sendiri. Dia sampai jadi tersasul kerana keterujaannya ini.
              “ Kalau macam tu, malam nanti saya datang semula.” Dzar membuat keputusan. Dia berpusing mahu melangkah kembali namun suara keras Adni tiba-tiba mematikan langkahnya.
              “ Dzar Thalha, don’t you dare walk away from me...”

Comments

Vespa To'chiq said…
Ayoo.. cerita baru eh kak Dhiya.. tahniah tahniah.. i like
dhiya zafira said…
Ya..cerita baharu yang sedang saya tulis

Popular posts from this blog

SAYA RASA NAK BAKAR PEJABAT POS Kamunting

mutiara kata sasterawan negara

Pre Order DIBUKA SEKARANG - HAQ II