Assalamualaikum,
Aku ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada anda semua yang memberikan ucapan takziah serta kata semangat. Maaf juga kerana baru kini aku berkesempatan membalas segala mesej yang diterima. Aku tahu kalian semua pasti mengerti.
Malam ini, sudah 6 hari ayah meninggalkan aku, mak dan adik beradik. sehingga kini, aku masih tidak mampu mencoret apa-apa, malah otak seakan membeku. tidak mampu berfikir kecuali merenung jauh memutarkan kembali saat-saat manis bersama ayah. Mengenangkan ramai yang bertanya dan meninggalkan pesan maka aku gagahi juga walaupun jiwa dan hati masih diruntun pilu. Sehingga sekarang aku tidak mampu memanggil ayah dengan gelaran arwah. sungguh. Aku tidak sanggup. 28 tahun aku hidup bersama ayah. Dan aku sama sekali tidak menyangka 27 Mac 2007 menoktahkan segala-galanya. Dalam sekelip mata aku kehilangan insan yang paling aku sayangi. Dalam sekelip mata ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Walaupun telah diberitahu kemungkinan untuk ayah sembuh amat tipis, tapi aku dan keluarga masih menaruh harapan. masih mahu berusaha kerana ajal terletak di tangan Tuhan. Aku tak sanggup memikirkan ayah pergi tanpa kami berbuat apa-apa.
Sudah tersurat, umur ayah setakat ini sahaja. Setakat 56 tahun. Ayah masih terlalu muda kalau hendak dibandingkan dengan teman-temannya yang lain. tetapi janji ALLAH tiada siapa yang dapat menduga. Tinggallah kami sendirian meratapi pemergian ayah. sehingga sekarang aku masih tidak mampu menangis dengan sebenar-benar tangisan lagi. segalanya terkumpul, terperuk, terhimpun di ceruk hati aku. Aku tidak mampu untuk meluahkan kesedihan ini. Aku mahu kekal sebagai anaknya kuat dan tabah. aku tidak mampu menangis dengan mudah seperti kakak dan adik-adik aku. Aku lebih suka menangis di dalam hati. aku tak pandai meluahkan kesedihan yang bersarang dalam jiwa ini.
Walaupun redha dengan pemergian ini, tetapi kadang kala aku masih sukar menerima kenyataan. Masih sukar mempercayai bahawa ayah tidak akan kembali lagi. Alangkah bagusnya kalau ayah masih ada di hospital. sekurang-kurangnya esok aku masih dapat melihatnya lagi. sekurang-kurangnya aku dapat memicit lengan, kakinya lagi bila ayah mengaduh lenguh. setidak-tidaknya aku masih mampu menyuap nasi atau minuman ke mulut ayah. Ah...banyak yang mahu aku lakukan, tetapi sekarang aku tidak berpeluang untuk membuat semua itu lagi.
Ayah memainkan peranan penting dalam hidup aku. dalam hidup adik beradik dan mak aku. Kehilangan ayah menyebabkan hati kami terasa kosong. kekosongan yang tidak mungkin akan ada penggantinya. Memang dunia ini masih sama. masih tidak berubah. Dunia ini tidak akan berhenti kerana aku kehilangan seorang ayah tetapi hidup aku tidak akan sama seperti dulu lagi. Hidup aku kini sudah hilang serinya.
Sekarang aku hanya ada emak. Emak yang tabah. emak yang kuat semangat. Emak yang kental jiwanya. 36 tahun emak bersama ayah, tentu saja emak yang lebih merasai segala-galanya. Bagaimana aku hendak mengubat kesedihan emak? bagaimana aku hendak menghiburkan hati emak sedangkan aku tahu tiada apa yang dapat menyembuhkan kesedihan yang aku alami ini ketika ini.
Pepatah menyatakan " masa akan mengubat semua kelukaan". Memang ada benarnya. Aku tidak tahu berapa lama yang akan aku ambil untuk pulih dari semua ini. sebulan. 6 bulan. setahun. 3 tahun ataupun selama-lamanya. Aku tidak tahu.Tetapi yang pasti, jiwa aku seakan mahu pecah apabila teringatkan ayah. Dada aku sesak memikirkan aku tidak dapat melihat wajah ayah lagi. Aku masih terjaga tengah malam mengharapkan kedatangan roh ayah. Aku masih mengharapkannya walaupun kini ayah berada di alam lain.
Aku bukan tidak mahu terima kenyataan. tidak. Aku redha dengan pemergiannya. Malah aku lega kerana ayah tidak perlu menanggung sakitnya lagi. Aku bersyukur ayah pergi dalam keadaan elok. ayah tidak menderita sehingga nafas terakhirnya. Jenazah ayah seperti orang yang sedang lena tidur sahaja. Hanya itulah yang mengubat hati aku sekarang ini. Aku tahu ayah pergi ke tempat yang lebih baik mengadap PENCIPTANYA.
Buat AYAH,
Aku doakan ayah ditempatkan di kalangan hambaNYA yang soleh. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa ayah samaada kecil ataupun besar. Semoga Allah mudahkan urusan ayah di sana. Semoga ayah tenang di dalam perjalanan yang abadi. Moga Allah terima doa kami untuknya. Ayah jangan bimbang. kami tak akan lupakan ayah. kami tetap sayangkan ayah. Kami akan sentiasa berdoa untuk ayah. kami akan sentiasa menjaga maruah ayah. Dan Insyaallah, moga kita semua dapat bersama kelak. Amin.
Al fatihah...
3 comments:
violet,
baca n3 violet kali ni buat akak ingat pada emak. macam violet sebut, memang payah nak sebut perkataan arwah sebab kita rasa jauh di sudut hati dia sentiasa ada dgn kita. kadang-kadang bila akak balik melaka, biarpun dah 4 tahun mak tak ada, akak terasa dia mcm ada memasak di dapur, terbayang-bayang dia buka gate rumah bila kami balik... bagi akak, masa tak pernah ubat luka. makin lama makin kuat rindu akak pada mak. itu sebabnya bila bulan puasa dan pagi raya, akak rasa cukup payah.. lagi bertahun dia tak ada, akak rasa makin luka hati. violet, jaga mak baik-baik. mungkin luka hati mak lebih dalam daripada apa yg violet agak. sampai sekarang ni, kalau akak termimpikan mak, biarpun kekadang nampak berbalam, itu mimpi paling manis buat akak.
salam dan jaga diri elok-elok.
Kak lily,
dulu sama sekali saya tidak menyangka akan melalui detik ini. dahulu seringkali berbual dengan adik beradik bagaimana dengan kami nanti kalau salah seorang dari kami pergi dulu. bermacam jawapan yang diberikan tetapi tetap tidak dapat melawan perasaan 'kehilangan'yang sebenar. KIta memang boleh tabah dan bersabar dan orang boleh menasihati apa sahaja tetapi bila merasai sendiri keadaan itu, baru kita tahu bagaimana rasa sebenarnya. terima kasih. kata-kata dan nasihat akak selalu menyentuh hati saya. akak pandai memujuk dengan kata-kata.sedikit sebanyak kesedihan saya terubat.
Post a Comment