Thursday, March 28, 2013

DZAR'S STORY ~ SETIAP DETIK NAFASKU


“ Pipi mak lebam lagi. Ayah pukul ke?” Dzar tidak menoleh apabila suara itu menganggu lamunannya. Dia tahu siapa itu. Yang bersuara itu pantas melabuhkan punggung di sisinya.
              “ Kau dah tahu tapi kau rajin sangat tanya ni pasal apa?” soalnya sambil menjeling kepada Diana yang melabuhkan punggung di sisi. Adik yang muda  6 tahun daripadanya itu hanya terkebil-kebil memandangnya. Mungkin tidak menyangka yang dia akan jadi sekeras ini.
              “ Abah suka marah-marah dan pukul mak. Abang janganlah macam tu,” bisik Diana perlahan, hampir sahaja tidak kedengaran.
              Dzar terpempan. Wajahnya berubah mendengar kata-kata itu. Itukah yang dilihat Diana? Adakah dia sememangnya sudah bertukar menjadi bapa mereka yang tidak berguna itu? Tidak! Tidak! Dia bencikan kelakuan ayahnya. Dia bencikan lelaki bernama Najib itu. Jadi masakan pula dia mencontohi sikap lelaki yang dibencinya itu. “ Kenapa kau tak balik rumah lagi?” Suaranya sengaja dikendurkan. Cuba menjernihkan keadaan. Apa juga pergolakan jiwa yang sedang dialaminya kini, Diana seharusnya tidak menjadi sasaran dia melepaskan perasaan.
              Diana mengesat air matanya. “ Dian nak balik dengan abang. Duduk rumah pun asik kena maki dengan abah. Kalau tak maki Dian, abah pukul mak. Kalau ada abang...abah kendur sikit,” terangnya meluah perasaan.
              “ Jangan terlalu bergantung pada aku, Dian. Kalau aku tak ada siapa nak jaga kau? Nak jaga mak? Kau kena belajar hidup berdikari. Cuba hidup tanpa bergantung pada orang lain.”
              Mata Diana terbeliak. Bibir bergetar menahan rasa kebimbangan yang melonjak-lonjak dalam hati. “ Abang nak pergi? Nak tinggalkan Dian dengan mak?” soalnya sedikit keliru. Takut jika itu yang berlaku. Tidak! Dia tidak dapat menerimanya.
              Dzar mengeluh keras. Sudah betul bercakap dengan orang yang tak faham ni. Buat pertama kali semenjak mereka di situ, dia menoleh ke arah Diana. “ Cuba kau cakap dengan aku. Pernah tak terlintas dalam kepala kau, yang kau nak pergi dari rumah tu. Nak tinggalkan segala-galanya yang menyakitkan. Kalau peluang tu ada, kau masih nak harapkan orang tua tu? Cakap dengan aku Dian...takkan sikit pun tak terlintas dalam hati kau nak tinggalkan semua ni?” Dzar cuba membuka mata adiknya. Biar Diana melihat kemungkinan yang ada. Haluan yang boleh mereka terokai tanpa mengharapkan bantuan dan sokongan insan yang sendiri boleh membawa mereka rebah. Diana diam tidak terkutik. Yang sebenarnya dia cuba memahami sebab apa Dzar tiba-tiba bercakap mengenai perkara ini.
              “ Ubah nasib kau Dian. Kalau kau yang tak ubah sendiri, siapa yang nak tolong kau. Belajar pandai-pandai. Dapat keputusan cemerlang. Masuk Universiti. Kerja baik-baik. Kau tak perlu hadapi semua ni lagi. Kau boleh keluar dari rumah tu. Tak payah pandang belakang lagi. Silap-silap patah riuk tulang kau dikerjakan laki tak guna tu.” tambahnya lagi. Sukar mahu menganggap Najib sebagai seorang ayah.
              “ Masuk U pun bukan jaminan hidup kita akan bahagia. Sekeping kertas tu tak bermakna apa-apa. Duit bukan segala-galanya.” Diana meningkah kata-kata abangnya.
              “ Kau tunggu sini pun apa yang kau dapat? Apa yang kau ada?” Dzar menyoal sinis.
              “ Dian ada mak. Dian ada abang.” Diana menyahut pantas. Dan untuk kesekian kalinya Dzar kaku. Hilang segala perbendaharaan kata. Diana! Keluhnya dalam hati. Adiknya yang manis ini masih polos dan suci jiwanya. Tetap positif walau apa sahaja dugaan yang melanda.
              “ Jangan pandang aku tinggi sangat Dian. Aku tak layak.” Seperti lelaki pengecut dia melarikan wajah dari pandangan Diana. Adiknya ini mungkin muda, namun pemikirannya ternyata sudah matang. Dan dia tidak sedar bilamana Diana memandangnya dengan penuh kasih sayang. Dengan penuh penghormatan.
              “ Abang, abang Dian. Darah daging Dian. Insan yang Dian boleh bergantung harap. Insan yang Dian sayang sangat-sangat. Dian tak nampak abah akan berubah. Walau betapa Dian berharap abah berubah sekalipun, Dian tahu payah. Hanya ALLAH sahaja yang boleh gerakkan hati abah untuk berubah. Apa yang Dian tahu, abang yang jaga Dian selama ni. Jangan ingat Dian tak tahu. Jangan ingat Dian lupa semua apa yang berlaku. Dian mungkin muda, tapi Dian bukan bodoh, abang. Selama ni, abang bukan sekadar abang Dian. Abang jadi ayah, kawan dan pelindung Dian. Satu hari nanti, kalau ada jodoh, abang yang akan jadi wali Dian. Sebab Dian tak yakin abah mampu lakukan semua tu.”
              “ Dian...”
              “ Abang segala-galanya buat Dian. Kenapa abang tak pernah sedar? Kenapa susah sangat abang nak percaya? Salahkah Dian pandang tinggi pada abang?”
              “ Dahlah. Jom balik,” putus Dzar tidak mahu berbicara mengenai perkara itu lagi. Sukar baginya mahu berbicara soal hati dan perasaan. Dia bukan seperti Diana yang senang meluahkan apa sahaja. Suka, ketawa. Duka, mengalirkan air mata. Dia bukan lelaki seperti itu.
              Segalanya dia kumpul dan simpan dalam pertahanan hati dan kuncinya dicampakkan jauh ke jurang yang cukup dalam. Dia benci melihat Diana menangis. Dia resah apabila emak mengalirkan air mata. Hatinya seperti dilapah melihat mereka menderita. Namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia lelaki yang gagal. Dia tewas sebelum berjuang. Dan dia sama sekali tidak layak mendapat sanjungan adiknya ini.
               Diana merenung belakang tubuh Dzar dengan penuh kehampaan. Keras benar hatimu, bang. Siapa yang bersalah menjadikan hidup kita kucar kacir sebegini? Mampu bahagiakah kita nanti? Dia mengeluh perlahan memikirkan tiada jawapan yang mampu diperolehinya. Dzar semakin jauh. Mahu tidak mahu Diana terpaksa menurut. Dia berlari-lari anak sehingga langkah mereka saling bersaing. Tanpa sedar tangannya memaut tangan Dzar. Langkah Dzar terhenti namun beberapa saat kemudian dia kembali meneruskan langkah. Tangan kecil Diana masih tergenggam kemas dalam pautannya.

No comments:

OFFER HATI BERGETAR RINDU

OFFER RM20 (sm)/ RM 25(ss)  termasuk pos throwback 🔙  novel ke 5 yang terbit pada Mac 2011. Terbit selepas hanya 7 bula...