Thursday, December 21, 2006

cerita lama

Berbicara mengenai ayah, aku tidak boleh melupakan emak. Emak yang cekal. Emak yang tabah. Walaupun kecil namun kekuatan emak bagaikan Badang setelah makan muntah hantu. Bagaikan popeye dengan bayamnya. Berbanding dengan ayah, penderitaan emak lebih lama. Seingat aku semenjak aku masih kecil lagi pelbagai penyakit singgah dalam hidup emak. Dulu emak selalu batuk-batuk. Tak boleh penat. Kalau penat emak sukar bernafas. Bermacam ubat yang mak makan namun doktor tidak dapat menentukan apa penyakit sebenar mak. Bila dibawa berubat tradisional, dikatakan mak terkena buatan orang. Aku sendiri tidak tahu mana satu yang betul. Tetapi pernah juga kami adik beradik lihat kesan rawatan bomoh pada mak. Mak muntah hampir satu baldi. Keluar air warna biru dan hijau. Tubuh mak lembik selembiknya. Muntah mak, ayah tadah dengan tangan. Ayah jaga mak sampai mak benar-benar sembuh. Namun, hari demi hari, berbelas tahun berlalu, penyakit mak jadi sembuh sendiri. Walau tidak sepenuhnya, namun mak jarang sakit2 macam dulu lagi.

Sekarang mak pula menjaga ayah. 24 jam mak berada di sisi ayah. Selama mana ayah di hospital, selama itulah mak setia menanti. Kami sudah puas memujuk mak untuk bergilir menjaga ayah namun mak hanya menggeleng. Paling2 mak akan cakap daripada asyik risaukan ayah di rumah, lebih baik dia menemani ayah. Puas memujuk, kami pasrah. Kalau mak nak jaga, kami terpaksa merelakan. Degil mak tak siapa boleh lawan.hihihi.

Dulu, pada tahun 1985, ayah terpaksa bertugas di Amerika selama setahun. Mak tak mau ikut. Mungkin kerana mak tidak mahu melahirkan adik di sana kerana masa tu mak sedang mengandung. Lagipun mak memang alah dengan kesejukkan. Mahu tak mahu, ayah terpaksa pergi seorang. Hendak menolak memang tidak boleh. Jadi tinggallah kami 5 beradik dengan mak. Masa mengandungkan adik yang keenam, mak kena darah tinggi dan ditahan di hospital. Agak lama juga mak di sana. Tanggungjawab diambil oleh kakak aku yang sulung. Walaupun baru berusia 11 tahun namun aku tidak pernah melihat budak yang bertanggungjawab seperti kakak aku ini. Sepanjang mak di hospital, dialah mak dan dialah ayah kami.

Dugaan kami bertambah pula apabila aku dan kakak ke 2 aku mengalami kemalangan. Trak yang kami naiki untuk ke sekolah terbalik. Kemalangan itu meragut seorang nyawa. Dia meninggal apabila trak tersebut jatuh ke atasnya. Kalau ada sesiapa ingat, berita mengenai kemalangan ini ada masuk di dalam akhbar Utusan Malaysia. Memang kecoh. Ayah ada di luar negara. Mak kat hospital. 2 orang anak kemalangan. Doktor tak mahu beritahu mak pasal kemalangan kami. Dengan darah yang tinggi, doktor takut mak tak boleh menerima kenyataan. Tetapi akhirnya doktor beritahu juga bila mak mengesyaki ada sesuatu yang tak kena. Hmmm..apa lagi, berjejak kasih kami kat hospital hari itu. Kakak aku agak teruk. Kelopak mata dia terkoyak. Kena jahit tanpa bius lak tu. Habis doktor kena terajang dengan dia. Aku…? Aku pengsan selepas kemalangan. Hanya sedar apabila bantuan tiba untuk mengeluarkan mangsa. Selepas setahun baru ayah balik. Bukan tak nak balik tapi tak boleh balik. Biasalah kalau berkhidmat dalam tentera ni. Selagi tak ada mati2 jangan harap boleh balik. Pihak tentera yang datang melawat memang banyak. Sebab tu ayah tak boleh balik sebab anak2 dia stabil.

Motif aku bercerita tentang perkara ni bukan apa, cuma sejak dulu lagi keluarga kami menghadapi begitu banyak dugaan. Terlalu banyak. Kalau boleh aku ungkap satu persatu, mesti korang hairan, nape banyak cerita sedih saja.hihihihi. Aku tahu Allah tak akan menduga kalau Dia tidak yakin kami sekeluarga boleh menghadapinya. Sekarang ini kami berpegang pada iman. Syukurlah ikatan keluarga kami kukuh. Memang sejak dulu lagi antara kami memang akrab. Sebab itulah segala kesedihan dan kekecewaan dapat kami harungi dengan tabah. Kerana kami tahu, kami tidak keseorangan. Kasih sayang kami jitu. Benar kata Hamka, “cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat. Cinta datang kepada orang yang masih mempunyai harapan walaupun mereka telah dikecewakan. Kepada mereka yang masih percaya, walaupun mereka telah dikhianati. Kepada mereka yang masih ingin mencintai, walaupun mereka telah disakiti sebelumnya dan kepada mereka yang mempunyai keberanian dan keyakinan untuk membangunkan kembali kepercayaan.

1 comment:

Abang Long said...

dik, ketabahan IBU sebenarnya adalah pembakar semangat buat anak ....

OFFER HATI BERGETAR RINDU

OFFER RM20 (sm)/ RM 25(ss)  termasuk pos throwback 🔙  novel ke 5 yang terbit pada Mac 2011. Terbit selepas hanya 7 bula...