Salam....
Bulan ni bulan yang cukup meresahkan buat saya sekeluarga. Saya menaip n3 ni di tempat kerja. Rasa hati ingin sahaja bercuti namun memikirkan saya perlu kerja untuk melengkapkan masa bagi membolehkan saya claim time off selasa nanti, dengan berat hati saya pergi juga ke tempat kerja.
Minggu lepas malam Khamis jan 12 tengah malam, emak mengadu sakit dada. Sebenarnya dua tiga hari sebelum itu emak mengadu perkara yang sama namun memikirkan hanya sakit biasa emak, saya dan adik-adik yang lain langsung tidak mengesyaki apa-apa. Selalunya kalau emak berasa penat, sukar untuk bernafas, ada caranya yang kami gunakan untuk melegakan kembali emak.
Hari Rabu sebelum itu, emak telefon saya dipejabat, menyatakan kita rasa tak sedap badan. Saya apalagi...tinggalkan segala dan sempat berpesan kepada staf yang lain, lantas pulang ke rumah. Beberapa ketika kemudian, emak sudah boleh bernafas dengan tenang..( ketika ini saya masih memikirkan keadaan penyakitnya yang biasa saja. Namun saya tersilap. Malam itu dada emak bertambah sakit padahal sebelum itu selama 3 jam emak menonton tv, dia tidak apa2. Memikirkan sakit bertambah teruk, saya bersiap sekadar mungkin untuk membawa emak ke hosppital. Hanya saya dan Daiful yang berumur 5 tahun itu sahaja di rumah. Adik-beradik yang lain masih belum pulang untuk bercuti sempena CNY.
Dalam keadaan kelam kabut, saya cuba untuk tidak panik. Saya sempat mencapai senarai ubat dan buku perubatan emak. Daiful yang sedang tidur, terpaksa saya bangunkan dengan agak kasar kerana sakit emak sudah semakin teruk.
Pukul 12 malam, mujurlah kereta tidak banyak. Saya memasang lampu kecemasan dan melanggar kesemua 8 buah traffic light yang kebetulan kesemuanya berwarna merah. Mujur Kebanyakkan pemandu yang lan mengerti saat cemas yang saya hadapi. Perjalanan selama lebih kurang 10 minit itu benar-benar menguji kesabaran. Di situ saya terpaksa mengawal perasaan untuk bertenang. Mengawal perasaan emak yang tidak henti-henti mengucap dan beristghfar. Daiful pula mungkin sedar keadaan yang serius itu, jadi dia hanya diam sahaja. terkebil-kebil seorang di bahagian belakang.
Sampai di pintu kecemasan, saya meminta tolong pada pembantu perubatan di situ. Mereka segera mengambil strecher dan mengangkat tubuh emak yang ketika itu langsung tidak berdaya berbuat apa-apa lagi. Saya terpaksa membiarkan mereka menyorong emak ke dalam ER kerana terpaksa parkir kereta di tempat lain. Belakang saya sudah ada ambulans menunggu untuk menurunkan pesakit. Saya parkir ikut dan saya. langsung tak peduli sama ada kawasan tersebut boleh diparkirkan kereta ataupun tidak.
Di bilik kecemasan, semua doktor mengerumuni emak. Saya dan daiful memang blur pada masa tu. Tengok depan mata sendiri doktor merawat emak. Seorang memasang oksigen pada emak. seorang lagi cuba mengambil darah emak. Seorang pula bersiap sedia mahu melakukan ECG pada emak. lepas tu pasukan xray pula menunggu. Kesemuanya saya rasa blur. Sehingga seorang pengawal keselamatan datang pada saya memberitahu saya tidak boleh parkir kereta di tempat yang saya parkir itu. Mungkin agaknya dia melihat sesuatu pada wajah saya menyebabkan dia menawarkan diri untuk tolong parkirkan untuk saya. Saya terus menyerahkan kunci kereta padanya, tanpa mempedulikan betulkan dia sememangnya berkhidmat dengan pihak hospital. Tahu-tahu sahaja mungkin kereta saya langsung hilang. Namun beberapa minit kemudian. dia datang menyerahkan kunci.
Saya rasa mahu menangis namun air mata saya langsung tidak mahu keluar. Saya juga langsung tidak terfikir mahu menelefon adik beradik yang lain. Melihat emak pada waktu itu mengembalikan ingatan saya kembali pada pengalaman pertama emak diserang jantung 2 tahun lepas. Ia juga mengembalikan ingatan saya pada arwah ayah, di mana untuk kedua-dua situasi cemas itu dihadapi oleh saya juga, sendirian di ER itu.
Seelah 2 jam, keadaan mak mula stabil. Saya uruskan kemasukan emak ke wad. Oleh kerana saya tidak fotokopikan kad pesara arwah ayah, emak dimasukkan ke wad kelas 3, sedangkan emak layak ditempatkan diwad kelas 1. Hmmm...Nota untuk saya, fotostatkan banyak2 kad pesara itu untuk kemudian hari. Tetapi...untuk bertanyakan soalan kenapa saya tidak fotostatkan kad itu adalah sangat tidak wajar. Dalam keadaan cemas dan jam sudah berganjak pukul 3 pagi tu, bolehkah saya menyediakan segala kemahuan mereka?
Masuk wad di wad D5. Kelas 3 menempatkan 6 orang pesakit. Agak kurang selesa kerana ramai dan belum bercampur dengan waris yang menunggu pesakit sekali. Tetapi memandangkan, jururawat mengatakan wad 3 lebih kerap dilawati doktor menyebabkan saya terima keadaan tu. Setelah emak berehat, saya meminta izin untuk balik kerumah, mrngambil segala macam kelengkapan untuk kemudahan emak di wad. Pada mulanya, emak agak takut ditinggalkan, namun setelah meyakinkan dia, saya pulang. Pukul 3.30 pagi. Untuk sampai ke taman perumahan saya, terpaksa melalui kawasan kelapa sawit. Kalau waktu malam, kawasan itu memang gelap kerana tiada lampu jalan dan agak menyeramkan. Namun, pada waktu itu, saya tidak berasa apa-apa. Saya jadi berani kerana niat saya hanya mahu segera sampai di rumah dan kembali semula ke hospital.
Selepas azan subuh, baru saya telefon seorang demi seorang adik beradik saya yang lain. Banyak soalan yang terpaksa saya jawab. Ya...saya faham. Mereka terkejut. telefon emak dan saya tak berhenti2 berbunyi. Saya rasa seperti saya PA seorang artis yang sedang dilanda skandal terbesar abad ini pula..( Ya..saya tahu..lawak bodoh).
Adik di Arau sudah menangis. Dia merancang untuk pulang ke sini hari sabtu bersama kakak saya yang duduk di Alor Setar. Bila sudah begini, dia mahu pulang segera. Abang ipar saya tentera, dan pas cutinya masih belum diluluskan. Jadi...terpaksa abang ipar berusaha agar pas cutinya disign dengan kadar segera.
Pukul 11.30 adik lelaki saya yang juga tentera di penang, sampai bersama isteri. Metty pula, terpaksa menunggu suaminya pulang dari kerja untuk balik ke taiping. Sudah menjadi isteri orang, bukannya boleh berdesup balik bila2 masa dia suka macam dulu lagi dah. Lepas Ijat sampai, saya balik kerumah. Mandi dan tidur selama 3 jam. Penat. Rasa ringan sedikit jiwa saya kerana mampu berkongsi duka dengan adik beradik yang lain. Sebelum kembali semula ke Hospital, saya masakkan bubur nasi untuk emak. Menjelang petang, kesemua adik beradik saya sudah tiba.
Malam itu, adik mengambil giliran menjaga emak. Bila di wad perempuan, hanya perempuan sahaja yang boleh menunggu. Hanya 3 orang sahaja yg masih bujang, jadi hanya saya, sarah dan adik sahaja yang harus bergilir2. Kak Murni menguruskan hal rumah dan Metty menjaga di waktu siang. Hari ke 3 emak dipindahkan ke wad kelas 2. kelas 1 masih penuh lagi. Malam itu, saya menjaga emak sekali lagi. Emak nampak lebih sihat. Hari ke 4 emak sudah boleh discharge.
Hari Khamis hari itu, 4 hari selepas emak keluar, emak dimasukkan ke wad sekali lagi. Kali ini emak sakit dada waktu pagi. Selepas emak bersarapan. Yang lain semuanya dah balik. tinggal saya, adik dan sarah sahaja kerana cuti sekolah dan universiti. Perjalanan kali ini lebih sukar. Kereta lebih banyak. Kami tidak mahu menunggu ambulans kerana takut terpaksa menunggu lama. Saya memandu seperti mana saya memandu malam khamis dulu. Sepanjang perjalanan hon kereta saya berbunyi meminta kenderaaan lain ke tepi. Mak dikesan mengalami unstable angina. Dr pakar menyuruh emak ke penang untuk menjalani rawatan lanjut. Kami menunggu esok untuk appoinment emak dengan doktor pakar itu. Mudah-mudahlah tidaklah perlu sampai emak dibedah atau menjalani procedur yang lebih berrisiko.
Kerana itulah, saya perlu bekerja hari ini. Emak masih dihospital. Saya akan ke sana semula selepas ini. Buat teman-teman, hadiahkan sedikit doa buat emak agar dia lekas2 sembuh.

Comments

kynn said…
harap bersabar......
dhiya zafira said…
kynn...
Insyaallah

Popular posts from this blog

SAYA RASA NAK BAKAR PEJABAT POS Kamunting

mutiara kata sasterawan negara

Pre Order DIBUKA SEKARANG - HAQ II